Kemeriahan Kejohanan Bowling Eximious 2019
BUKIT KIARA, 22 Januari 2019 – Gaya hidup sihat merupakan satu amalan dan budaya peserta program DPA INTAN Tahun 2018. Justeru itu, Eximious membuka tirai 2019 dengan penuh kemeriahan melalui penganjuran acara Kejohanan Bowling Eximious 2019 bertempat di Kiara Super Bowl, Bukit Kiara Resort. Pertandingan yang diadakan ini bertujuan meningkatkan semangat kesukanan disamping mengeratkan lagi ukhuwah di kalangan Perunding Latihan dan Perunding Latihan Kanan, SKPMI dengan Kadet DPA INTAN Tahun 2018. Acara sukan ini telah dilaksanakan dalam suasana yang penuh semangat dan ceria dengan penglibatan seramai 40 penyertaan individu yang telah dipecahkan kepada 8 kumpulan. Mereka terdiri daripada 34 kadet DPA dan 6 wakil SKPMI.
Acara dimulakan pada 6.10pm dengan ucapan aluan oleh Encik Fazrul Azlan bin Othman, YDP MPP Sidang 4 dan disusuli dengan ucapan aluan YBrs. Dr. Jamaluddin bin Mohd. Ali, Ketua Kluster, Kluster Pembangunan Profesional dan Etika. Seterusnya, perasmian Kejohanan Bowling Eximious disempurnakan oleh beliau dengan gimik balingan pertama sebagai simbolik permulaan pertandingan.
En. Md. Faizal bin Katimon, Peruding Latihan Kanan SKPMI muncul sebagai pemain terbaik dengan mengutip jumlah markah tertinggi, diikuti oleh Mohd Saufi bin Mohd Isa sebagai pemain kedua terbaik dan tempat ketiga dimenangi oleh Mohamad Faisal bin Mohamad. Bagi acara berkumpulan, persaingan sengit di antara 8 kumpulan telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada Kumpulan 5 yang muncul sebagai juara keseluruhan, diikuti oleh kumpulan 6 yang telah dinobatkan sebagai naib juara dan tempat ketiga jatuh kepada kumpulan 7. Tidak ketinggalan anugerah khas untuk pemain paling corot turut juga diberi penghargaan dan diberikan kepada Mohd Izwan bin Osman mewakili peserta lelaki dan Joanita binti Sulaiman mewakili peserta perempuan.
Pertandingan yang berlangsung selama hampir tiga jam ini telah berjaya mengeratkan lagi tali silaturrahim dan merapatkan jurang di antara pihak SKPMI dengan Kadet DPA. Banyak bakat baru telah berjaya dicungkil disamping hasrat dan impian melaksanakan program pertama untuk tahun 2019 tercapai dengan jayanya dengan kerjasama daripada semua pihak.
Mohammad Shafiq Syazwan bin Mohd Ashri
DPA18070070